FELDA United pulang dengan tangan kosong pada penampilan pertamanya di Piala AFC apabila tewas 1-2 kepada naib juara Liga Singapura musim lalu, Tampines Rovers pada aksi pembukaan Kumpulan G di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.

Meskipun mendapat suntikan semangat dengan kehadiran jurulatih baharu, B Sathianathan yang turut menonton perlawanan itu, The Fighters nyata gagal bangkit daripada prestasi hambar dalam kancah Liga Super, sekali gus menyaksikan mereka kini tewas dalam tiga aksi berturut-turut.

Beraksi di atas permukaan padang basah menyebabkan aksi berlangsung hambar apabila kedua-dua pasukan memperagakan corak berhati-hati. Tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang pelawat yang dikawal Farizal Harun, namun percubaan Ivan Dzoni yang menerima hantaran lintang Ryutaro Megumi pada minit kesembilan melewati palang gol.

FELDA United sesekali cuba mengasak menggunakan bahagian sayap dan bermain hantaran pendek tetapi disekat gandingan pertahanan tuan rumah, Madhu Mohana dan Daniel Bennet, sekali gus menyaksikan babak pertama berakhir tanpa jaringan.

Namun, di babak kedua, Tampines Rovers memecah kebuntuan selepas hantaran lintang menarik daripada Raspreet Sandhu disudahkan dengan tandukan pemain tengah importnya, Son Yong Chan untuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-62.

Kemasukan pemain senior, Khairul Amri Mohd Kamal pada minit ke-70 nyata menambah bisa jentera serangan Tampines Rovers apabila penyerang veteran itu meledak gol kedua selepas menyudahkan hantaran Megumi pada minit ke-83.

Tampines Rovers yang selesa mendahului 2-0 bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan Fazrul Hazli Kadri pada minit ke-87 untuk mengurangkan defisit gol, namun jaringan itu tidak dapat menafikan tiga mata mutlak tuan rumah.

Tampines Rovers vs Felda United (AFC Cup 2017: Group Stage)

LEAVE A REPLY