KANGAR – Ribut beserta hujan lebat melanda hampir kesemua tempat di negeri ini malam tadi, menyebabkan berlakunya beberapa kemalangan yang meragut empat nyawa dalam kejadian berasingan.
Di Jalan Bukit Chabang, Padang Besar dekat sini, sepasang suami isteri dan seorang anggota polis maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam.
Manakala di Jalan Tandop, Kampung Baru Tok Kuning di sini, seorang remaja berusia 15 tahun maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebatang pokok yang tumbang di tengah jalan pada pukul 11.45 malam.
Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian pertama itu ialah Mohd. Hafiz Johari,28, serta isterinya Siti Asmah Abdul Khalid,27, yang menaiki kereta jenis Nissan Murano manakala anggota polis berkenaan, Muhamad Amirul Naim Aziz,24, pula memandu kenderaan jenis Perodua Kancil.
Lebih menyedihkan, kejadian tersebut berlaku ketika salah seorang mangsa iaitu Siti Asmah sedang sarat mengandung sembilan bulan dan dijangka melahirkan anak keduanya hari ini.
Bagaimanapun anak pasangan suami isteri berkenaan, yang dikenali sebagai Alia,4, terselamat dalan nahas berkenaan manakala isteri anggota polis tersebut bersama dua anak yang berusia dua tahun dan empat bulan juga terselamat.
Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perlis, Superitendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, semasa kejadian, anggotanya itu dalam perjalanan pulang daripada rumah mentuanya di Padang Besar ke Seriab.
Katanya, kemalangan tersebut berlaku apabila kereta anggota tersebut yang keluar simpang di kawasan berkenaan telah bertembung dengan kereta jenis Nissan Murano yang menghala ke Padang Besar.
“Akibat rempuhan itu, Perodua Kancil itu telah terbabas seterusnya melanggar papan tanda di sebelah kanan jalan.
“Mangsa turut membawa isteri dan dua anaknya bagaimanapun mereka berdua terselamat dalam nahas berkenaan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) awal pagi ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Muhammad Halim Yatim berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kesemua mayat tersebut akan melalui proses bedah siasat pada pukul 8.30 pagi ini,” katanya.
Sementara itu, ribut yang melanda negeri ini turut menyaksikan hampir 40 buah rumah di kawasan Mata Ayer, Bintong, Kayang, Beseri, Sena, Chuping, Kuala Perlis dan Pauh mengalami kerosakan teruk. – UTUSAN ONLINE