Eksekutif PROTON Dipenjara Enam Bulan, Denda RM70,000 Kerana Rasuah

Eksekutif PROTON Dipenjara Enam Bulan, Denda RM70,000 Kerana Rasuah

Seorang bekas eksekutif pembelian Proton dipenjara enam bulan dan didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan menerima rasuah membabitkan RM3,028.27 daripada seorang pemilik syarikat enam tahun lepas.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu terhadap Fahmy Ameer Mohd Raf, 36, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.

Bagi setiap pertuduhan, Ahmad Zamzani menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau, penjara enam bulan jika gagal membayar denda, dan memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak.

Mengikut semua pertuduhan itu, Fahmy Ameer menerima nilai sama RM432.61 antara 12 Sept 2005 dan 15 Jun 2006 untuk bayaran ansuran keretanya daripada pemilik Syarikat Enrich Ford Sdn. Bhd., Mohd Sharid Md Salleh.

Bayaran itu sebagai balasan supaya tidak menghalang syarikat itu mendapatkan kerja daripada Proton. Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 5, Wisma Nusantara, Jalan Puncak, Off Jalan P.Ramlee di sini.

Terdahulu, peguam Shahrul Nizam Azwir mewakili Fahmy Ameer, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kepada anak guamnya kerana tertuduh merupakan pesalah pertama dan menyara isteri serta dua anaknya masing-masing berusia enam tahun dan lapan bulan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azuan Adzhar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.