Pemain badminton nombor satu dunia menceritakan zaman kecilnya ketika hidup dalam serba kekurangan sehingga tidak mampu membeli sebatang raket.

Datuk Lee Chong Wei yang mula bermain badminton pada usia 10 tahun berkata, disebabkan pendapatan bapanya sebagai jurujal barangan elektronik hanya RM800 sebulan dan perlu menanggung empat anak, beliau terpaksa meminjam raket bapanya untuk bermain.

“Saya ingat lagi, ketika itu saya akan beraksi dalam kejohanan pertama saya iaitu Piala Milo, jadi bapa membawa saya membeli raket baharu,” katanya dalam ruangan pendapat ‘Dari Kaca Mata’ akhbar Berita Harian.

“Walaupun saya tahu dia tiada duit, namun tetap berusaha bagi membelikan saya jenama Pro Kennex. Itulah raket pertama saya yang berharga RM160.”

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 berkata, dirinya pernah hampir berputus asa daripada badminton kerana terlalu rindukan keluarga.

Beliau juga pernah dipinggirkan rakan ketika menyertai Akademi Badminton Kebangsaan semasa umurnya 17 tahun.

“Mungkin sudah menjadi lumrah buat semua pemain baharu, saya tidak lari daripada merasakan diri dipinggirkan.

“Orang baharu, siapa mahu kawan? Saya menangis setiap hari pada awal kemasukan saya ke akademi.

“Setiap hari saya menghubungi ibu dan menceritakan situasi saya dan sampai satu tahap, saya beritahu ibu saya mahu pulang. Saya tidak mahu lagi jadi pemain badminton,” katanya.

Namun nasihat ibu dan bantuan warden asrama membantu menaikkan semangat Lee sehingga dapat menyesuaikan diri di akademi.

LEAVE A REPLY