Kanak-kanak kurus yang ditemui pekerja bantuan ketika hampir mati kelaparan selepas dibuang keluarga tahun lalu, kerana menyangka dia ahli sihir, kini sudah mula bersekolah.

Gambar budak itu – yang dinamakan Hope – minum air dari botol yang disuap pekerja bantuan, Anja Ringgren Loven, meruntun hati seluruh dunia selepas ditemui di jalanan pada Januari 2016.

Ketika itu Hope yang berusia dua tahun sudah lapan bulan hidup melarat di jalanan, ditemui Anja, wanita dari Denmark yang tinggal di Afrika dan pasukannya dalam keadaan kurus kering tidak terurus, tubuh dipenuhi kudis serta masalah cacing yang serius.

Daily Mail melaporkan, setahun selepas penemuan itu, Anja menyiarkan gambar di Facebooknya menunjukkan Hope yang kini sihat, berpakaian sekolah.

“Pada 30 Januari 2016, saya menyertai misi menyelamat bersama David Emmanuel Umem, Nsidibe Orok dan pasukan Nigeria kami.

“Misi itu viral di media sosial dan hari ini, genap setahun dunia mengenai kanak-kanak yang dipanggil Hope memulakan persekolahan minggu ini,” tulis Anja dengan penuh emosi di Facebook.

Setiba di hospital selepas diselamatkan, Hope dibersihkan dan diberi ubat cacing serta menjalani penambahan darah setiap hari bagi membina sel darah merah.

Gambar kiri, keadaan Hope lapan minggu selepas diselamatkan.

Dua hari selepas Anja merayu bantuan kewangan bagi kos perubatan Hope, dia menerima sumbangan berjumlah lebih AS$1 juta dari seluruh dunia.

Beberapa minggu kemudian Hope semakin sihat dan tubuhnya semakin berisi, tinggal bersama kanak-kanak lain yang kurang bernasib baik di rumah kebajikan.

Anja ialah pengasas Yayasan Pembangunan dan Bantuan Pendidikan Kanak-Kanak Afrika yang ditubuhkan tiga tahun lalu, bagi membantu kanak-kanak, terutama mereka yang dianggap ahli sihir, dibuang keluarga, malah ada yang dibunuh.

Ketika merayu sumbangan kewangan untuk Hope, Anja menulis: “Ribuan kanak-kanak dituduh ahli sihir dan kami pernah menemui kanak-kanak yang diseksa dan dibunuh,”

“Dengan wang ini kami boleh membantu kanak-kanak seperti Hope dan membina klinik bagi menyelamatkan ramai lagi.”

Tahun lalu, Anja dan suaminya, David Emmanuel Umem, membina rumah kebajikan mereka sendiri.

LEAVE A REPLY