Dua pengikut Ajaran Harun dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Ahmad Raffli Abd Malek, tiga tahun lalu.

Tertuduh lain iaitu Azida Mohd Zol,33, pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40 dan Jefferi Safar, 39, dilepaskan dan dibebaskan kerana pendakwaan gagal membuktikan mereka terlibat melakukan konspirasi jenayah tersebut.

Harun Mat Saat, 50, yang meninggal dunia pada 16 Ogos lalu telah dibebaskan daripada tuduhan konspirasi itu pada 10 hari kemudian, selepas peguamnya, Amir Hamzah Arshad membuat permohonan untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya pembunuhan ke atas Ahmad Raffli berdasarkan keterangan anak dan isteri si mati.

“Keterangan saksi pendakwaan iaitu ahli keluarga terdekat simati, penemuan peluru dan senjata yang adalah jelas bahawa kedua tertuduh iaitu Sumustapha Suradi dan Shamsinar Abdul Halim mereka adalah orang yang lakukan jenayah itu.

“Kedua-dua mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang menjatuhi hukuman mati mandatori,” katanya ketika menjatuhkan hukuman itu.

Sejurus hukuman itu dijatuhkan kedua- dua tertuduh kelihatan tenang sebelum dibawa keluar dari kandang salah petang tadi.

Sumustapha, 41, dan Shamsinar, 39 didapati bersalah membunuh Ahmad Raffli pada 1.50 tengah hari, 10 November 2013 di No 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota, di sini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Harun bersama isteri ketiganya, Azida, Shaizral dan tiga pengikut iaitu Jefferi, Sumustapha, serta Shamsinar bersama seorang lagi masih bebas, dituduh melakukan konspirasi jenayah dengan bersetuju antara mereka membunuh Ahmad Raffli.

Dalam tempoh sepanjang perbicaraan tersebut, seramai 54 saksi telah dipanggil dan pada tampil memberi keterangan termasuk yang berada di bawah Unit Perlindungan Saksi (UPS).

LEAVE A REPLY