KOTA BHARU – Kementerian Kesihatan belum mengadakan sebarang perbincangan sama ada Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi, yang menulis surat terbuka berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) akan dikenakan tindakan atau tidak.
Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sehingga kini Dr Nur Ilyani bertugas seperti biasa dan kenyataan yang dibuat adalah komen peribadi, bukan mewakili kementerian.
Katanya, kenyataan dikeluarkan Dr Nur Ilyani itu dalam perhatian pihaknya namun sehingga kini belum ada sebarang perbincangan.
“Apa yang pasti, kita tetap dengan prinsip dan dasar kementerian iaitu memberi rawatan kepada semua tanpa diskriminasi.
“Soal tindakan yang dibuat Dr Nur Ilyani salah atau tidak, perkara itu sudah pun berlaku dan kita akan memberi perhatian kes seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Perubatan Integratif di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini, hari ini.
Dr Nur Ilyani sebelum ini membuat surat terbuka kepada aktivis masyarakat, Datin Paduka Marina Mahathir berhubung isu LGBT.
Dr Nur Ilyani yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II, pada 6 Ogos lalu menulis surat mempersoalkan hak yang dikatakan dituntut oleh golongan LGBT sehingga mendapat perhatian netizen.