PUTRAJAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad, disahkan sebagai antara nama calon dikemukakan PKR untuk mengisi jawatan Menteri Besar Selangor.

Pengesahan itu dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika mengulas senarai beberapa nama yang dikemukakan untuk pertimbangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Advertisement

“Ada beberapa nama diberikan, dia (Dr Idris) adalah salah seorang yang diberikan sebagai calon,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Semarak Kasih Nur Ramadan yang dihadiri 250 tetamu istimewa golongan asnaf dan kurang upaya di Seri Satria di sini, hari ini.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan mengenai pemimpin Pakatan Harapan Selangor mengutus surat kepada pihak Istana Selangor bagi menyatakan sokongan Dr Idris dilantik menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diberikan tanggungjawab sebagai menteri.

Semalam, Dr Idris menyatakan kesediaan menggalas tanggungjawab mentadbir Selangor andai terpilih sebagai Menteri Besar.

Beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Selangor dalam menentukan nasibnya, sama ada diperkenan atau sebaliknya sebagai Menteri Besar ke-16.

“Memang saya tahu nama saya ‘naik’ dan turut diberitahu oleh (kepemimpinan) parti (PKR). Terpulang kepada kebijaksanaan baginda Sultan Selangor,” katanya.

Mengulas peletakan jawatan Datuk A Kadir Jasin sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) berkuat kuasa serta merta hari ini, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata belum mendapat maklumat terperinci mengenainya.

“Saya tidak mahu komen banyak kerana belum mendapat maklumat lanjut peletakan jawatannya, cuma mendapat gambaran bahawa dia (Kadir) telah menulis sesuatu yang sedikit menyinggung,” katanya.

Berucap pada majlis berkenaan, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan mengalu-alukan semua pandangan dan saranan semua pihak supaya pentadbiran negara berupaya membina Malaysia baharu yang lebih cemerlang serta menyeluruh.

“Kita harap tiada pihak ketinggalan dalam usaha membangunkan negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.