tengku-adnan-tengku-mansorProgram solat subuh berjemaah di masjid yang akan mula dilaksanakan kepada sebilangan murid di Putrajaya tahun depan bukanlah satu acara wajib, kata Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Namun begitu, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata program awal pagi tersebut bagi melatih murid membiasakan diri dengan aktiviti jemaah sejak dari kecil untuk “menunjukkan kekuatan umat Islam”.

“Pada saya lebih mudah nak lentur rebung daripada nak lentur buluh. Ia bukan satu kemestian. Siapa nak ikut, ikutlah dalam satu blok.

“Kerana banyak orang Islam lupa, Nasrani dan Yahudi akan takut pada orang Islam apabila orang Islam berjemaah subuh seperti mereka jemaah hari Jumaat,” katanya dalam satu sidang media semalam, menggunakan istilah yang juga bermaksud kaum Kristian.

“Sekarang ini siapa yang takut dengan orang Islam? Jadi saya nak terapkan ini kepada cucu-cucu saya di Putrajaya supaya mereka dididik berjemaah,” tambahnya.

Tengku Adnan yang dikenali ramai dengan panggilan Ku Nan berkata selain mampu menunjukkan rasa takut di kalangan bukan Islam, solat berjemaah juga mengajar taat kepada pemimpin.

“Kerana berjemaah kita akan akur kepada imam. Bila kita tak reti berjemaah, ini masalah. Kata berjemaah tapi tak faham apa jemaah sebenarnya,” katanya.

Tengku Adnan yang juga ahli Parlimen Putrajaya sebelum ini dilaporkan berkata murid di kawasan itu akan melaksanakan program solat subuh berjemaah dan kuliah untuk pelajar di masjid dan surau sebelum memulakan sesi persekolahan.

Beliau juga berkata program perintis tersebut yang melibatkan 14 buah sekolah akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi menggalakkan pelajar bersolat subuh bersama-sama sebelum memulakan aktiviti harian.

“Turut diadakan ialah sesi kuliah dan sarapan pagi disediakan kepada semua murid dan pelajar terlibat,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

– See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/didik-murid-subuh-berjemaah-supaya-yahudi-kristian-takut-kata-ku-nan#sthash.7cpb5yuj.dpuf

LEAVE A REPLY