Demi menyara tiga anaknya, seorang ibu tunggal mengetepikan perasaan malu apabila sanggup menjadi badut sambil menjual belon di pasar malam sebagai sumber pendapatannya.

Azliza Ali, 27, dari Kampung Temonyong di sini, tidak pernah menganggap statusnya sebagai ibu tunggal menjadi penghalang, malah berazam menjadi seorang usahawan yang berjaya pada suatu hari nanti.

Dia yang mahu lebih dikenali sebagai ‘Miss Balloon Lola De Clown’ mengaku mempelajari selok-belok menghias diri sebagai badut dan memintal belon untuk dijual daripada bekas suaminya.

“Saya menceburi bidang ini sejak empat tahun lalu… ketika itu saya masih berkongsi hidup dengan suami, bagaimanapun selepas berpisah saya mula berdikari dan meneruskan mencari rezeki dengan cara sama.

“Tiga tapak pasar malam yang menjadi tumpuan orang ramai terutama di Kuah, Padang Matsirat dan Ayer Hangat menjadi pilihan saya untuk berniaga belon,” katanya.

Azliza berkata, dia memiliki tiga anak iaitu Muhammad Amrine Aliff Mohd Amran, sembilan tahun, Adam Alif, tujuh tahun, dan Nur Amira Sofea berusia enam bulan.

Azliza mengakui sifat terbuka dan tidak malu menjadi kunci kejayaannya membina imej sebagai wanita badut untuk memeriahkan majlis sambutan hari jadi, perkahwinan dan keramaian sekitar Langkawi.

LEAVE A REPLY