Debat KJ-Ambiga 25 April, Rafizi 3 Mei

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.39731.1334306354!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_400/image.jpgKetua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyahut cabaran Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli untuk berdebat mengenai isu pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam respons segera kepada cabaran Rafizi, yang diumumkan melalui akaun Twitternya tengah hari tadi, Khairy berkata: “Saya setuju untuk berdebat dengan Rafizi pada 3 Mei mengenai PTPTN.”

Dalam mesej yang sama, Khairy berkata, beliau juga bersedia untuk berdebat dengan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga mengenai pembaharuan sistem pilihan raya.

“Saya telah bersetuju untuk debat dengan Ambiga pada 25 April mengenai pembaharuan pilihan raya,” kata Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Dalam satu kenyataan media yang dihantar sekitar 11 pagi tadi, Rafizi mempelawa Khairy berdebat dengan beliau berkaitan isu PTPTN.

Rafizi berkata, beliau mempelawa Ketua Pemuda Umno itu berdebat mengenai isu PTPTN selepas pelawaan berkaitan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) awal tahun ini tidak menjadi kenyataan.

Menurut Rafizi, cabaran ini dibuat berikutan kenyataan Khairy yang dibuat melalui laman Twitter kelmarin bahawa penghapusan PTPTN adalah sesuatu yang boleh dilakukan, tetapi persoalannya adakah ia wajar.

Menurut Khairy, debat dengan Ambiga akan dianjurkan oleh Malay Mail dan akan berlangsung di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Khairy menyerahkan lokasi debat mengenai PTPTN dan formatnya kepada Rafizi untuk menentukan.

“OK, 3 Mei. Saya lapang. Tempat dan format terserah pada anda. Maklum saya,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.