Terkejut dikenakan harga makanan yang mahal, seorang lelaki meluahkan rasa tidak puas hatinya di laman Facebook terhadap sebuah gerai makanan di Arked Niaga Padang Besar.

“Kepada kawan-kawan yang jadi Ahli Majlis Perbandaran Kangar, mohon tolong tengok sat berkaitan pengusaha-pengusaha gerai makanan di Arked Niaga Padang Besar. Harga melampau-lampau,” kata Hamunir Hamzah.

Terdahulu, Hamunir bersama dua lagi rakannya menjamu selera di sebuah gerai milik warga Thailand.

“Kami pesan nasi kosong, telur dadar dan sup perut untuk dua orang makan, manakala seorang lagi pesan kway teow dan tom yam daging dan kami semua minum tiga gelas air teh o ais. Tahu berapa harga dikenakan? RM42!

“Bila ditanya, kenapa mahal sangat, pengusaha itu memberikan alasan bahawa nilai mata wang Malaysia jatuh dari mata wang Thailand.

“Dia tak tahu ke yang dia berniaga di Malaysia, bukan di Thailand dan sudah tentu mereka perlu menggunakan mata wang Malaysia,” katanya.

Berdasarkan komen netizen pada aduan Hamunir itu juga mendedahkan mereka pernah menjadi mangsa gerai berkenaan.

Justeru, Hamunir mendesak agar pihak berwajib mengambil tindakan terhadap pengusaha gerai makanan milik warga asing terbabit yang telah mengambil kesempatan terhadap pelanggan di atas alasan yang tidak munasabah.

Dalam laporan Harian Metro, 13 Oktober lalu, anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis pernah menyerbu gerai makanan di kawasan tumpuan pelancong itu.

Bagaimanapun, KPDNKK mengatakan bahawa tiada kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha makanan kerana setiap premis mematuhi peraturan dengan meletakkan tanda harga makanan di setiap premis mereka.

Malah, KPDNKK Perlis menganggap harga makanan di situ tidak mahal.

LEAVE A REPLY