Sejak gambar seorang wanita yang cantik dan ayu sedang memasak asam pedas viral di laman sosial media, orang ramai mula tertanya-tanya siapakah gerangan wanita tersebut bahkan mula menyerbu restoran Dapur Kak Poo.

Restoran itu yang dimiliki oleh Faizal Musa Kuti, 32, dan terletak di Jalan Kemboja, Kampung Sulaiman Menteri, Johor Bahru menyajikan pelbagai makanan dan asam pedas merupakan hidangan istimewa di restoran tersebut.

Wanita cantik dan ayu yang bernama Razlina Rohaizad itu merupakan rakan kepada pemilik restoran ini dan pihak restoran memilih Razlina sebagai tukang masak asam pedas kerana cara masakannya memang terbukti lazat dan enak.

“Kami tidak pernah berniat cuba ‘menjual’ paras rupanya. Dalam tempoh dua minggu beroperasi, kami bersyukur kerana gerai dikunjungi lebih 50 pelanggan setiap hari.

“Semuanya kuasa media sosial kerana selepas berita gerai makan kami tular, kami tidak menang tangan melayan pelanggan. Malah, sejak gambar Razlinda memasak tular di Facebook (FB), gerai itu semakin dikenali ramai,” akui Faizal Musa ketika ditemui Harian Metro.

Antara menu yang popular di Restoran Dapur Kak Poo ini adalah asam pedas ikan merah sehinggakan ia mendapat tempahan daripada golongan VVIP kerana kelazatan asam pedas yang dihasilkan.

Menurut Faizal Musa, ada pelanggan yang memborong asam pedas mereka dan 30 hidangan lauk pauk yang lain kerana tertarik dengan rasa masakan di restorannya itu.

Berkenaan Razlina, dia pernah mengusik bahawa kemungkinan jodoh rakan baiknya itu akan tiba tidak lama lagi setelah gambarnya viral di laman sosial media dan dalam masa yang sama mereka berdua mahu berjaya sebagai usahawan terlebih dahulu.

LEAVE A REPLY