Seorang lelaki terlepas penerbangannya ke destinasi selepas gagal mendaftar masuk akibat masalah sistem syarikat penerbangan tambang murah itu sendiri.

Hamdie Basri, memuat naik luahan kecewa dan kemarahannya itu di laman Facebook, mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Dakwa Hamdie, kakitangan di kaunter Air Asia Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) tidak membantu, sebaliknya merumitkan lagi masalahnya, malah turut mendakwa kakitangan berkenaan melayannya dengan biadab.

“Saya ada mesyuarat yang perlu dihadiri. Tak ada gunanya sediakan sistem ‘check in’ sendiri jika ia tidak dapat digunakan. Lalu saya pergi ke kaunter untuk mendaftar masuk, namun diarahkan pergi ke kiosk semula untuk berbuat demikian meskipun saya sudah memaklumkan kegagalan untuk mendaftar di kiosk yang disediakan itu,” katanya.

Enggan menimbulkan sebarang masalah, Hamdie pergi semula ke kiosk tersebut dan sekali lagi gagal untuk mendaftar masuk walaupun sudah mengikuti segala prosedur yang disediakan, sebelum kembali beratur dan berjumpa semula dengan kakitangan kaunter yang sama.

“Bila pergi ke kaunter, kakitangan ini sebenarnya sudah tahu ada masalah tetapi bukannya nak panggil pegawai kanan mereka. Nak lepas tangan, dia suruh saya pergi ke bahagian Khidmat Pelanggan. Bila ke kaunter Khidmat Pelanggan, disuruh pula beratur dan tetap tak dapat daftar masuk dan tak boleh naik pesawat.

“Dah tu, mereka jual tiket apa kejadahnya suruh saya ke sana sini untuk daftar masuk tetapi tak boleh?” luahnya di Facebook.

Menurut Hamdie, dia sudah cuba untuk mendaftar masuk secara dalam talian sejak semalam, namun gagal. Keadaan itu menyebabkan dia terpaksa datang awal ke KLIA 2 untuk daftar masuk di kiosk tetapi juga menerima hasil yang sama. Bila pergi ke kaunter, juga gagal untuk mendaftar masuk.

“Duit sudah diambil tetapi tak boleh naik pesawat. Bila tanya boleh dapatkan semula pengembalian wang, mereka kata tak boleh. What the F**k Air Asia?

“Jarang saya marah atau maki orang tetapi ini sudah melampau. Kalau terjadi pada orang tua dan orang susah atau ada kes kematian atau kes kecemasan bagaimana?” soalnya.

LEAVE A REPLY