Luar Negara

‘Cuci otak’ wanita mangsa hamba seks

By Faizul Lazim

August 07, 2018

JAKARTA – Bomoh yang menculik seorang wanita di Sulawesi sejak mangsa berusia 13 tahun, menggunakan gambar lelaki tampan, kononnya jin yang menyukai mangsa bagi ‘mencuci otak’ wanita berkenaan yang diselamatkan minggu ini.

Wanita itu, Hasni, 28, ditemui dalam keadaan bingung di celah batu besar di belakang rumah bomoh berkenaan dikenali sebagai Jago, 83, di Kecamatan Galang, Tolitoli, Sulawesi Tengah, minggu ini.

Menurut laporan Tribun News, bomoh berkenaan menunjukkan gambar lelaki tampan itu sebagai jin bernama Amrin kepada mangsa dan berjanji mempertemukan mereka berdua.

Ketua Polis Tolitoli, M Iqbal Alqudusy, berkata mangsa jelas ‘dicuci otak’ untuk dijadikan pemuas nafsu oleh bomoh berkenaan.

Menurutnya, Jago juga memberitahu Hasni, jin berkenaan memasuki tubuhnya menjadikan dirinya sebagai pengantara dengan wanita itu untuk melakukan hubungan intim dengan mangsa.

Malah, bagi meyakinkan mangsa, bomoh berkenaan menutup mukanya dengan kain kuning ketika memperkosa mangsa.

Menurut polis, bomoh berkenaan mengaku menyembunyikan mangsa kerana mahu menjadikan wanita itu sebagai hamba seks.

Bomoh berkenaan juga mengaku sudah beberapa kali merogol mangsa sepanjang 15 tahun itu.

Pada waktu siang, mangsa disembunyikan dalam lubang di celah batu besar di belakang rumahnya dan pada waktu malam, Hasni dibawa ke pondok kecil oleh lelaki itu.

Kompas melaporkan, polis merampas beberapa barang bukti termasuk peralatan tidur, papan, bantal, parang serta tengkorak di rumah Jago dan suspek ditahan mengikut Akta Perlindungan Kanak-kanak.