Chong Wei, Chen Long berentap lagi

By | February 8, 2014

Datuk Lee Chong Wei melangkah ke separuh akhir untuk merakam pertemuan dengan pemain muda China, Chen Long setelah jaguh No. 1 dunia itu menewaskan Peter Hoeg Gade dari Denmark pada perlawanan Kumpulan A Kejohanan Badminton Siri Super Masters Akhir di Liuzhou, China semalam.

Sebelum melakar kemenangan straight set, pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu dipaksa bekerja keras pada set pertama apabila Gade berjaya mengheretnya sehingga ke mata penentuan sebelum mencatat kejayaan 24-22.

Namun, dalam babak kedua, Chong Wei beraksi lebih tenang memperkemaskan permainannya untuk menutup perlawanan 21-14.

Kemenangan itu bermakna, Chong Wei akan menghitung pertemuan dengan Chen Long yang muncul naib juara Kumpulan B.

Sekali pun berjaya mengelak daripada bertemu dengan Lin Dan, lawan Chong Wei di separuh akhir bukan calang-calang pemain kerana Chen Long semakin mempamerkan kematangan dalam permainannya.

Buktinya, pemain itu pernah menewaskan Chong Wei sebanyak tiga kali daripada lapan pertemuan mereka dan kekalahan terbaru ialah pada Terbuka Denmark, 23 Oktober lalu dan Terbuka Jepun, 25 September lepas.

Namun, Chong Wei berjaya menebus dua kekalahan berturut-turut itu pada Terbuka Perancis, apabila dia menewaskan Chen Long 23-21, 17-21, 21-15 pada 29 Oktober lalu iaitu kejohanan terakhir disertainya sebelum berangkat ke China.

Lin Dan yang akan bertemu Gade dalam satu lagi aksi separuh akhir, tidak menghadapi masalah untuk menewaskan pemain muda Jepun, Kenichi Tago 21-11, 21-13 untuk muncul juara Kumpulan B.

Leave a Reply