Caj baharu perkhidmatan wad pesakit kelas satu dan dua di hospital kerajaan akan dinaikkan berkuat kuasa 1 Jan 2017, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Bagaimanapun, katanya, kadar kenaikan caj tersebut masih belum diputuskan.

Beliau berkata setakat ini hanya 1.6 peratus sahaja jumlah pesakit dijangka terlibat dengan kenaikan caj tersebut manakala 98.4 peratus lagi akan dibiayai melalui subsidi penuh.

“Jumlah pesakit dalam, pada setiap tahun, adalah 2 juta dan daripada jumlah itu, 32,000 orang adalah pesakit kelas satu dan dua.

“Mereka di kelas satu dan dua sememangnya membayar caj perkhidmatan.

Walaupun ada kenaikan, jumlah subsidi yang diberi masih lagi besar,” katanya pada sidang akhbar, di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Subramaniam berkata tumpuan utama Kementerian Kesihatan (KKM) adalah terhadap kumpulan berpendapatan rendah dan memastikan mereka tidak dikenakan bayaran.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar tempatan hari ini yang mendedahkan bahawa caj perkhidmatan wad bagi pesakit di kelas satu dan dua akan dinaikkan 50 peratus.

LEAVE A REPLY