KOTA BHARU: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencederakan isterinya dengan topi keledar, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Hussain Derahman, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencederakan isterinya, Haslida Mat Zain @Abdullah, 41, dengan topi keledar hitam di sebuah kuarters klinik di Bachok pada jam 6.15 pagi, 5 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, Siti Hajar tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh sebutan untuk laporan perubatan mangsa.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.