Viral

Burger Sotong Cheese Neleh jadi fenomena di Marang

By Faizul Lazim

September 07, 2018

MARANG – Percubaan dua pemuda menghasilkan menu burger menggunakan sotong besar membawa tuah apabila ia mencetus fenomena baharu dalam kalangan peminat makanan segera.

Menu burger sotong itu dihasilkan selepas perniagaan burger ayam dan daging diusahakan Mohd Izham Fahmi Mohamad, 25, dan Mohd Sharif Ngah, 22, sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Mohd Izham ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia dan rakannya mendapat ilham mencipta burger sotong itu selepas perniagaan burger biasa yang dijalankan mereka tidak mampu lagi bersaing.

Mohd Izham sedang menyediakan burger sotong

“Kami hampir berputus asa kerana perniagaan burger ayam dan daging sebelum ini. Tidak mendapat sambutan kerana terlalu banyak pesaingan, menu itu sudah biasa bagi peminat makanan segera.

“Kami kemudiannya memberanikan diri mencipta burger sotong dan tidak sangka ia mendapat sambutan yang mengalakkan. Kami menjual lebih 40 biji pada malam pertama diiperkenalkan,” katanya.

Mohd Izham berkata, mereka menawarkan burger unik itu pada harga RM12 hingga RM17 sebiji bergantung saiz manakala premis perniagaan mereka pula di Jalan Padang Midin dekat Tun Telanai di sini.

Menurutnya, perniagaan mereka kemudiannya semakin mendapat sambutan selepas keunikkannya menjadi tular di media sosial dan pernah mencapai jualan tertinggi sebanyak 60 biji semalam waktu itu.

“Namun, apabila burger sotong ini mula tular kerana sambutan luar biasa pelanggan, ada peniaga yang cuba meniru menu ini tetapi mereka tidak bertahan lama kerana kurang mendapat sambutan.

“Apa yang istimewa ada burger sotong kami ialah ia bukan sekadar menggunakan sotong segar tetapi sos lada hitam yang digunakan, ia diadun khas sehingga menjadi kegemaran pelanggan,” katanya.

Burger sotong dengan sos lada hitam ciptaan mereka.

Mohd Izham berkata, tidak rumit untuk menyediakan burger sotong kerana sotong hanya perlu dipanggang pada jangka masa sesuai sebelum disertakan dengan roti bersama sos istimewa mereka itu.

Sementara itu, rakannya, Mohd Sharif pula berkata, gerai burger sotong yang diusahakan mereka beroperasi pada jam 8.30 hingga 12 tengah malam dan 9 hingga 10 malam adalah waktu yang paling sibuk.

Menurutnya, pelanggan tetap biasanya akan membuat tempahan lebih awal kerana mereka enggan beratur panjang malah ada yang datang seawal jam 8 malam untuk mengelak daripada menunggu lama.

“Bagaimanapun, bagi pelanggan baharu mereka tak perlu bimbang kerana kami memperuntukkan jumlah sotong yang lebih kerana tidak ingin menghampakan permintaan pelanggan yang berhajat,” katanya.

Selain burger sotong unik hasil cetusan idea dua sahabat baik itu, gerai dua pemuda itu turut menyediakan menu lain yang kini turut mendapat sambutan iaitu nasi lemak berlaukkan sotong panggang.