Masih adakah burger dijual dengan harga RM 1.30? Rasanya kali terakhir membeli burger dengan harga itu adalah sekitar 1990-an lalu.

Ketika banyak pihak berlumba-lumba menaikkan harga barang, seorang peniaga makanan segera di Rantau Panjang, Kelantan tetap menggunakan harga sama sejak dua dekad lalu.

Kreativiti Sabila Nawi, 23, menggunakan slogan ‘harga koma sejak 2009’ dan ‘rasailah A-Class Burger’ berjaya menarik minat pembeli tempatan dan saudara berjiran, Thailand.

Lokasinya kedai warisan keluarga yang dibuka di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Kelantan dalam Zon Bebas Cukai Rantau Panjang turut memudahkan pengunjung luar negeri menjamu selera selepas membeli-belah.

Sabila berkata, disebabkan harga semurah RM 1.30, burger mini menjadi sajian terlaris selepas roti hamlet yang dijual RM2 manakala burger foldover daging serta ayam dengan kadar RM3.50.

Dari 20 menu yang dijual, Sabila turut menyajikan burger oblong kambing serta foldover kambing dengan harga masing-masing RM 7.50 dan RM6.50.

“Kebanyakan pelanggan menggemari sos lada hitam yang saya saya masak sendiri, menggunakan 18 rempah,” katanya.

“Pengalaman bekerja di hotel lima bintang di Kuala Lumpur memberi kelebihan selain dapat berkongsi resipi oleh seorang Chef dari Turki sebelum ini,” katanya.

Gerai yang dibuka setiap hari kecuali cuti umum bermula jam 8 hingga 12 malam, menjadi tumpuan pengunjung di Rantau Panjang.

Kejayaan peniaga muda ini turut menaikkan semangat peniaga lain apabila beliau berjaya membuka cawangan baharu di Bandar Lama Gua Musang.

LEAVE A REPLY