Buku himpunan ungkapan perangsang semangat Fattah Amin mempunyai “1001 rahsia, makna mendalam dan maksud tersirat”.

Mempertahankan diri daripada cercaan terhadap 99 Kata-Kata #QalifModen, pelakon itu berkata terpulang kepada pembaca memikirkannya.

Ungkapan yang merangsang motivasi itu termasuklah: “Aku dulu selalu berangan nak gi KLCC, nak bawak kereta aku sendiri dan parking valet. Ternyata kini telah termakbul hahaa… kelakar, kan?”

“Petikan di atas, apa yang ingin diketengahkan oleh penulis, tiada yang mustahil di dalam dunia ini.

“Letaklah setinggi mana anganmu, hamparkan usaha, nescaya pasti akan tercapai apa yang diimpikan,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

“Setiap kata-kata mempunyai maksud yang tersirat dan membolehkan sesiapa yang membaca boleh berfikir mengikut imaginasi masing-masing tanpa paksaan.”

99 Kata-Kata #QalifModen bertujuan membangkit inspirasi peminatnya tetapi ada juga mereka yang menjadikan buku tersebut sasaran kutukan mereka.

Bagi Fattah, buku itu “istimewa” kerana mengandungi ungkapan pembakar semangatnya apabila dikritik sebagai pelakon “kayu”, lapor mStar Online semalam.

Namun, blog hiburan popular Oh Bulan! melaporkan cercaan terhadap karya pelakon kacak drama Suri Hati Mr Pilot itu, yang sebelumnya digosipkan dengan Neelofa.

BACA: ‘Pokok Menangis Kalau Tahu Dijadikan Buku Fattah Amin’ – Netizen

Buku Fattah, 27, yang berharga RM50 senaskhah dituduh hanya “dipenuhi foto selfie dan ayat entah apa-apa”, lapor blog itu.

“Kalau pokok tahu ia ditebang untuk buat buku Fattah Amin, ia menangis,” kata Usop Ibrahim di Twitter.

Beliau juga dituduh terlalu berlebih-lebih untuk menceburi banyak bidang seni tetapi tanpa kualiti dan mengharapkan populariti sahaja.

“Suara tidak sedap pun (tetapi lirik lagu itu A), buku pula macam haprak sahaja. Inilah [contoh] tiada kualiti tetapi harapkan populariti,” tweet Matt Ali pula.

Dilancarkan di NU Sentral di sini kelmarin, edisi kulit keras 99 Kata-Kata #QalifModen disertakan single lagu Wanita Terakhir dan foto-foto eksklusif.

LEAVE A REPLY