Menteri Kewangan Lim Guan Eng mahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan bukti pembayaran gaji RM5 juta kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.
Katanya beliau mahu bekas perdana menteri menunjukkan bukti berkenaan agar rakyat Malaysia dapat mengetahui ke mana wang negara digunakan.
“Saya nak tanya bolehkah mantan perdana menteri tunjuk bukti bahawa Arul mendapat RM10 juta satu tahun dan RM5 juta untuk tempoh enam bulan, ini kerana beliau (Najib) menyatakan Arul mendapat gaji lebih tinggi semasa bekerja di tempat swasta.
“Jadi saya harap mantan perdana menteri boleh tunjuk bukti,” katanya kepada pemberita selepas sidang media filem ‘Rise Ini Kalilah’ di George Town, hari ini.
Lim turut membidas kenyataan bekas perdana menteri bahawa Arul telah banyak berkorban dan memberikan sumbangan terhadap 1MDB, sebaliknya Lim berkata 1MDB hanya sebuah syarikat yang rugi dan mempunyai hutang yang banyak.
“Dia (Arul ) korbankan apa, apa yang dia rugi, sebenarnya kita boleh lihat Arul untung RM5 juta dalam tempoh enam bulan dan ini ditandatangani oleh Najib sendiri. So apa kata bekas perdana menteri, kita bukan nak dendam, kita hendakkan akauntabiliti, mananya pergi wang negara dan mengapa kita hutang sampai RM50 bilion untuk skandal 1MDB.
“Sekiranya kita hendak menyiasat akauntabiliti dan ketelusan ini pun dikira dendam, macam ini 30 juta rakyat Malaysia pun berdendamlah. 30 juta rakyat Malaysia pun nak tahu mana wang pergi, mengapa kita hutang begitu besar sampai RM50 bilion untuk satu skandal 1MDB .Ini belum kira skandal-skandal lain. Satu syarikat 1MDB sudah hutang RM50 bilion dan rugi begitu besar,” katanya.
Lim berkata beliau memberikan masa kepada Najib untuk menunjukkan bukti berkenaan sebelum perbicaraan kesnya di mahkamah dimulakan.
Sebelum ini, bekas perdana menteri itu dilaporkan mempertahankan pakej gaji RM5 juta yang diberi kepada Arul yang disifatkan sebagai mendapat gaji lebih rendah ketika Arul berkhidmat dengan 1MDB berbanding jumlah yang diterimanya ketika bertugas dengan sebuah bank di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Najib turut dilapor berkata Arul sanggup menerima gaji jauh lebih rendah untuk bertugas dengan 1MDB dan malah berjaya mengurangkan hutang syarikat milik negara itu daripada RM50 bilion kepada RM30 bilion.
-Bernama