SANDAKAN: Seorang kanak-kanak ditemui mati, dipercayai terkena renjatan elektrik, selepas dilaporkan hilang sejak pagi Selasa lalu ketika bermain di kawasan berhampiran rumah setinggan di belakang Bandar Lee Tat, di sini.

Mayat kanak-kanak warga asing berusia tujuh tahun itu ditemui pada jam 2 petang semalam di kawasan semak di Lorong 9, Bandar Lee Tat.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata polis menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada jam 6.30 petang Selasa lalu, bagaimanapun gagal menemui mangsa.

Katanya, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian bersama anggota bomba, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan pasukan perubatan Hospital Duchess of Kent sebaik dimaklumkan penemuan mayat kanak-kanak itu.

“Pemeriksaan mendapati mayat kanak-kanak itu mempunyai kesan terbakar di tapak kaki sebelah kiri dan disahkan meninggal dunia.

“Mayat sudah dicam oleh ahli keluarga berdasarkan pakaian dan siasatan lanjut tidak mendapati unsur jenayah atau kecederaan lain pada tubuh mangsa,” katanya.

Mohd Azhar berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.