KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mendakwa, kemenangan PKR mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dengan hanya majoriti 5,765 undi sebagai bukti kejayaan pembangkang mencetuskan protes rakyat secara berkesan.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, mendakwa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis juga melahirkan tunas kerjasama ke arah perpaduan ummah yang lebih padu di antara UMNO dan PAS.
“Statistik keputusan PRK cukup signifikan. Undi PKR dapat dikurangkan hampir 12,000 atau separuh daripada yang diperoleh ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu apabila protes rakyat juga ditunjukkan melalui undi yang diberikan kepada pembangkang (BN) sebanyak 9,583 undi.
“Ini bermakna lebih daripada 20,000 undi menolak atau memprotes terhadap PKR. BN juga menyertai PRK ini dengan serba kekurangan berikutan tekanan dikenakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membeku semua akaun dan merampas dana PRU BN.
“Pelbagai tekanan dikenakan pada pimpinan BN dan UMNO, malah kenderaan BN turut disita, selain jentera BN berkempen secara sederhana, malah memutuskan tiada pembabitan BN negeri lain kecuali Selangor,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Dalam PRK yang berlangsung hari ini, PKR mengekalkan DUN Sungai Kandis dengan majoriti sebanyak 5,842 undi.
Jumlah majoriti itu adalah rendah berbanding PRU-14 lalu, yang dikaitkan dengan peratusan keluar mengundi yang rendah apabila hanya 49.4 peratus daripada 51,230 pemilih berdaftar keluar mengundi hari ini.
Pada PRK hari ini, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, memperoleh 15,427 undi; berbanding Datuk Lokman Noor Adam (BN) 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy 97 undi. Murthy juga hilang wang pertaruhan.
PRK Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandang daripada PKR, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
Pada PRU-14 lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan 23,998 undi, menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).
Annuar mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tidak berceramah, berbanding pemimpin PH yang turun dengan segala kekuatan kerajaan negeri dan Persekutuan.
Katanya, kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail serta menteri Kabinet, Menteri Besar serta exco secara habis-habisan masih gagal menarik rakyat sepenuhnya mempertahankan PKR.
“Peratusan keluar mengundi adalah antara yang paling rendah dalam sejarah pilihan raya negara, menggambarkan betapa rakyat muak dengan kerajaan. Malah, legitimasi wakil rakyat yang dipilih boleh dipertikaikan kerana datang daripada demokrasi yang cacat dan tempang.
“Bagi BN, ini satu kejayaan kerana dapat menghalang PKR mencapai sasaran 10,000 majoriti. Ia membangkit kesedaran majoriti rakyat menolak kerajaan PH, dan ini satu permulaan yang sangat memberangsangkan.
“UMNO dan BN mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Sungai Kandis, termasuk yang memprotes secara tidak keluar mengundi,” katanya.
Beliau berkata, PRK Sungai Kandis juga menjadi permulaan kepada usaha parti itu mengajak rakyat menuntut janji ditepati serta memerangi kezaliman, menangkis fitnah serta menolak kerajaan yang dikuasai DAP.