Bekas Presiden Gambia, Yahya Jammeh dipercayai ‘melarikan’ jutaan ringgit wang milik negara ketika meninggalkan negara itu.

Pembantu Presiden baharu Gambia, Adama Barrow, berkata ‘tabung dana’ negara kini kosong, sebaik sahaja pihaknya tiba di negara itu, untuk mengalu-alukan ketibaan Barrow.

Pada Sabtu lalu, Jammeh meninggalkan Gambia, sekali gus mengakhiri 22 tahun pemerintahan kuku besinya menuju ke Equatorial Guinea.

Beliau dan keluarganya dijangka menetap di negara itu. Sementara itu, ketibaan pasukan tentera Afrika Barat di Gambia, pada Ahad lalu disambut dengan kegembiraan penduduk negara itu.

Ia bagi membolehkan Barrow yang ketika ini tinggal di Senegal, mengambil alih kuasa.

Namun, pentadbiran baharu pimpinan Barrow mendapati kira-kira AS$11 juta (RM48.9 juta) hilang daripada tabung simpanan negara.

“Tabung simpanan negara boleh dikatakan sudah kosong. Sejak dua minggu lalu lebih AS$11 juta (RM48.9 juta sudah dikeluarkan.

“Kerajaan Gambia dijangka menghadapi masalah kewangan apabila kami mengambil alih pentadbiran,” kata pembantu Barrow, Mai Fatty kepada pemberita di Dakar, Senegal.

Jammeh enggan meletak jawatan selepas tewas dalam pilihan raya presiden pada 1 Disember lalu.

Bagaimanapun, beliau dan keluarganya meninggalkan Gambia secara senyap Ahad lalu menaiki pesawat khas.

LEAVE A REPLY