BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang bekas pembantu khas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat seorang wanita yang mendakwa dicabul lelaki itu.

Sumber berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang hari ini selepas diminta hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) untuk memberi keterangan.

“Menurut mangsa berusia 31 tahun, kejadian itu berlaku pada Jumaat lepas semasa syarikat dia bekerja menganjurkan majlis jamuan sembahyang di bangunan syarikat kejuruteraan berkenaan di Jalan Rumbia, di sini.

“Dalam kejadian pukul 11.15 malam itu, mangsa naik ke tingkat tiga pejabat syarikat untuk mengambil minyak angin berikutan rakannya tidak sihat,” katanya kepada Bernama, di sini malam ini.

Katanya lelaki itu bertindak mengekori wanita berkenaan sebelum secara tiba-tiba menolak mangsa ke dinding serta mencium mulut serta meraba badan termasuk tempat sulit wanita tersebut.

Sumber berkata mangsa yang terkejut dengan perbuatan lelaki itu menangis dan menjerit dengan kuat, namun tiada sesiapa mendengarinya kerana suasana di tingkat bawah ketika itu agak bising dengan persembahan nyanyian.

“Lelaki itu kemudiannya memujuk mangsa yang sudah berkahwin tersebut supaya tidak terus menjerit serta menangis sebelum dia meninggalkan wanita berkenaan di situ. Mangsa yang trauma membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut,” katanya.

Katanya, lelaki itu akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. – Bernama

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.