Kerajaan sedia menambahkan pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekiranya harga minyak petrol melebihi paras RM3 seliter.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menegaskan, kerajaan memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Golongan B40 terdiri daripada golongan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

“Kerajaan akan terus memantau harga minyak petrol di pasaran. Sekiranya harga terus meningkat dan pendapatan negara bertambah, kerajaan mungkin akan mempertimbangkan untuk terus membantu golongan yang berpendapatan rendah.

“Sekiranya harga minyak terus naik melebihi RM3 seliter, kami faham keadaan yang bakal dialami oleh golongan B40 ini. Kerajaan akan mengeluarkan satu mekanisme,” kata Johari seperti yang dipetik dalam Sin Chew Jit Poh.

Menurutnya, BR1M sebanyak RM1,200 pada masa itu tentunya tidak mencukupi lagi, oleh itu kerajaan akan meningkatkan jumlah bantuan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak. Bagaimanapun, sekiranya harga minyak merosot, kerajaan perlu mengambil semula BR1M.

Johari turut berkata, kerajaan juga mengkaji pelaksanaan di beberapa negara maju dengan membiarkan harga minyak terapung dan penggiat industri minyak dan gas akan menentukannya.

“Apabila kerajaan membuat keputusan mengenai harga siling, sama ada penggiat industri minyak dan gas mahu menjual minyak pada harga rendah bagi tujuan promosi, itu terpulang kepada mereka. Ini antara pilihan yang kami sedang teliti.

“Namun sebelum melaksanakannya, kerajaan perlu mengkaji apa kesan dan akibatnya kelak,” katanya.

LEAVE A REPLY