Sepasang suami isteri merayu bantuan dana bagi menjelaskan yuran pengajian anak perempuan mereka yang tertunggak di mana ia perlu dibayar selewat-lewatnya Mei ini.

Mohd Ashar Misran, 52, berkata, anak perempuannya, Nur Mardhiah Mohd Ashar, 25, kini meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Mansoura, Mesir.

“Yuran tertunggak sebanyak RM89,824 (USD22,400), kami juga kena bayar yuran yang akan datang sebanyak RM106,976 (USD9,200) selama tiga tahun.

“Jumlah itu terlalu besar untuk pakcik, pakcik tak mampu. Kalau tak bayar, macam mana anak pakcik nak teruskan pengajian. Ibu bapa mana yang nak masa depan anaknya terjejas,” katanya yang tinggal di Taman Jugra Jaya, Banting, Selangor sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, dia pernah menjadi guru agama di salah sebuah maahad tahfiz namun selepas menghidap penyakit buah pinggang dan penglihatannya kurang jelas, dia dinasihatkan untuk tidak bekerja.

“Pakcik hanya terima bantuan dari Lembaga Zakat sebanyak RM600 dan bantuan orang kurang upaya sebanyak RM350.

“Duit itulah pakcik gunakan untuk sara isteri yang tak bekerja dan menanggung sembilan anak yang masih bersekolah,” katanya di rumahnya semalam.

Dia dan isterinya Norlaila Kadri, 50, sebelum ini telah berusaha pelbagai cara termasuk membuat permohonan kepada kerajaan persekutuan, wakil rakyat setempat dan pelbagai agensi yang terlibat namun tidak mendapat makluman balas.

“Sehinggalah kisah anak saya diviralkan menerusi WhatsApp, dan masalah kami ini sampai ke pengetahuan wakil Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 14…dia kata dia akan cuba panjangkan permohonan kepada media.

“Anak saya masih belajar di Mesir sejak 2012 selepas dapat keputusan cemerlang di Sekolah Rendah Kelanang dan Sekolah Menengah Agama Tinggi Salak Tinggi dan kini dalam tahun tiga di sana,” katanya.

Norlaila pula berkata, dia berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan.

“Besar harapan saya mahu lihat anak teruskan pengajian dan berjaya dalam pelajaran, selain terharu tengok usaha suami nak dapatkan bantuan.

“Demi anak, dia sendiri telefon pelbagai pihak termasuk minta tolong kawan-kawannya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi JPP Zon 14, Asuma Beevi Mohamed Sali berkata, beliau bakal memanjangkan permohonan yang dibuat pasangan terbabit kepada pelbagai pihak bagi membantu Nur Mardhiah meneruskan pengajiannya.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank bernombor 162058890202 atas nama bersama Nur Mardhiah Mohd Ashar dan Norlaila Kadri selain boleh menghubungi Mohd Ashar di talian 019-3411741.

LEAVE A REPLY