Hiburan

Banyak organ gagal berfungsi, penyanyi Azreen Manan kritikal

By Faizul Lazim

August 12, 2018

KUALA LUMPUR: Keadaan penyanyi dan pelakon era 1990-an, Azreen Manan, 41, yang dimasukkan ke Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya, sejak semalam, kritikal dan terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit.

Suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Shah memberitahu, doktor memaklumkan beberapa organ dalam badan termasuk buah pinggang isterinya gagal berfungsi hingga menyebabkan komplikasi.

“Kesihatan Azreen semakin merosot sejak seminggu lalu. Kelmarin, dia mengadu sakit perut. Kemudian ibu perasan beg untuk saluran air kencingnya tiada tanda-tanda perkumuhan.

“Saya terus pulang daripada tugasan di luar kawasan selepas menghubungi hospital. Kami diminta segera membawanya ke hospital untuk diperiksa dan dirawat,” katanya.

Shah berkata, biarpun tiada rawatan lagi yang dapat dilakukan, isterinya kuat semangat.

“Semalam Azreen menggunakan alat bantu pernafasan namun ia sudah dibuka.

“Isteri masih sedar dan kenal orang-orang di sekeliling. Malah, sejak semalam, hampir 100 orang melawat termasuk saudara mara, kenalan dan rakan artis,” katanya.

Azreen disahkan menghidap kanser servik tahap empat sejak dua tahun lalu. Dia pernah menjalani pembedahan membuang ovari, namun, akhir tahun lalu, sel barah menyerang lagi dan beralih ke kaki.

Shah berharap orang ramai mendoakan kesejahteraan isterinya itu sekali gus melegakan kesakitan yang dirasai.

“Buat masa ini, isteri bergantung kepada ubat penahan sakit.

“Dia tahu ramai yang mendoakan kesihatannya apabila ramai yang melawat dan bertanya khabar. Terima kasih dari kami sekeluarga atas segala doa dan sokongan,” katanya.

Azreen dikenali sebagai penyanyi pada usia 12 tahun apabila tampil dengan album sulung pada 1989.

Dia juga pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan Asia Bagus pada 1992 yang menyaksikan bintang Indonesia, Krisdayanti muncul juara.

Setahun kemudian Azreen dipilih membintangi filem Azizah The Lagend yang menyaksikan gandingan Badrul Muhayat dan Wafa Abdul Kadir.