Sepasang bakal pengantin maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer 88.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Bukit Bauk, Dunugn awal pagi tadi.

Kemalangan jam 2 pagi tadi mengorbankan Che Sukiman Che Rahim, 41, dari FELDA Kerteh 6, di sini, dan tunangnya, Nur Ashikin Mohamed, 23, dari Kampung Balai Besar, Dungun. Pasangan berkenaan dijadual melangsungkan perkahwinan mereka pada akhir bulan ini.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu Nur Ashikin dari arah Dungun ke Paka dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan jalan, menyebabkan kenderaan mangsa dirempuh sebuah lagi Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta pasangan bakal pengantin itu terputus dua, mengakibatkan Che Sukiman tercampak keluar daripada kenderaan.

Kemalangan itu turut menyebabkan pemandu Proton Wira berusia 26 tahun yang berasal dari Merchang, Marang, parah dan dilaporkan kritikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad, berkata sepasukan lapan anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, jenazah Nur Ashikin yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan 15 minit kemudian dan mangsa lelaki yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun.

LEAVE A REPLY