PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan yang berkait rapat dengan tokoh kanan parti Republikan dan bekas pegawai tinggi perisikan Amerika Syarikat (AS) bekerjasama dengan pembangkang Malaysia sejak 2002, termasuk Pakatan Harapan yang menambilalih kuasa dalam pilihan raya umum Mei lepas, menurut satu pendedahan dalam forum melibatkan badan pemikir utama negara itu baru-baru ini.
The International Republican Institute (IRI), sebuah badan pemikir berpangkalan di Washington, yang ahli lembaga pengarahnya termasuk pemimpin parti Republikan seperti John McCain, serta bekas penasihat Keselamatan Negara dan bekas pegawai tentera AS berkata, kegiatan badan itu di Malaysia akhirnya berhasil dalam pilihan raya umum ke-14 lepas dan ia menguntungkan AS dari sudut persaingannya dengan China sekarang.
“Saya pergi dan duduk bersama-sama ramai pemimpin baru kerajaan baru di sana, dan ramai dalam kalangan mereka merupakan rakan kongsi yang bekerja dengan kita sejak 15 tahun lepas. Salah seorang yang paling kanan dalam kalangan mereka, yang kini menguasai kerajaan berkata kepada saya, ‘Hebat IRI, anda tidak meninggalkan kami walaupun pada saat kami sudah bersedia untuk menyerah kalah’,” kata presiden IRI Daniel Twinning dalam satu forum anjuran Center for Startegic & International Studies, bulan lepas.
Twinning berkata, dalam pertemuan di pejabat perdana menteri selepas pilihan raya umum itu, beliau memberitahu pemimpin kanan PH bahawa kredit itu milik mereka, “bukan kami”.
Kenyataannya itu dijangka menghangatkan lagi debat berhubung peranan AS dalam proses demokrasi negara berikutan pendedahan sepucuk surat daripada ketua risik kanan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta sokongan Washington sekiranya Barisan Nasional menang tipis dalam pilihan raya baru lalu.
Polis kini menjalankan siasatan ke atas surat yang ditulis oleh bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (ME10) Datuk Hasanah Abdul Hamid kepada rakan sejawatannya di Biro Penyiasatan Pusat AS (CIA), yang antara lain menyebut bahawa AS lebih beruntung sekiranya Najib memimpin Malaysia berbanding Dr Mahathir yang “anti-Yahudi” dan “anti-Barat”.
Pemimpin PH mendesak Hasanah didakwa kerana mengkhianati negara.
Pemeriksaan ringkas ke atas lamanweb IRI mendapati badan itu ditaja oleh Jabatan Negara AS dan National Endowment for Democracy (NED), sebuah pertubuhan yang bermatlamatkan “pengukuhan institusi demokrasi di seluruh dunia”, termasuk kesatuan sekerja dan kuasa pasaran bebas.
Twinning memberitahu forum tersebut bahawa Washington mendapat manfaat daripada kerajaan baru Putrajaya sejak dari mula lagi.
“Tahukah anda bahawa antara langkah pertama diambil oleh kerajaan baru itu? Ia membekukan pelaburan infrastruktur China kerana ia membuka rekod dan mendapati terdapatnya banyak wang ‘pelik’ yang bergerak ke sana-sini dalam sebuah sistem korup, tidak telus dan berakauntibiliti,” katanya, yang jelas merujuk kepada kajian semula beberapa projek mega melibatkan syarikat China, termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Twinning mengakui Malaysia tidak mungkin menjadi sekutu AS, tetapi kemenangan PH akan memberi manfaat kepada Washington.