Hanya selepas tiga perlawanan Liga Super, pengendali FELDA United FC, Azmi Mohamed membuat kejutan apabila melepaskan jawatannya.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, surat peletakan jawatan itu sudah diserahkan kepada pengurusan FELDA United FC, Selasa lalu.

Katanya, keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira segala faktor termasuk kemampuan diri untuk mengendalikan kelab yang dilihatnya mempunyai misi tinggi untuk meraih pencapaian serta kedudukan terbaik.

“Sebenarnya, saya perlu jujur dan telus untuk mengatakan keputusan ini adalah tepat demi kebaikan dan masa depan FELDA United melangkah lebih jauh dan menjadi sebuah pasukan yang mantap.

“Saya tidak mahu menjadi jurulatih yang hanya mengendali pasukan dan menerima segala keputusan, sebaliknya keputusan saya ini adalah yang terbaik untuk melihat FELDA United dapat bersaing pada peringkat lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, walaupun sudah menghantar surat peletakan itu, beliau masih lagi bersama pengurusan kelab dan berhasrat mengikuti kursus untuk menimba pengalaman dalam bidang kejurulatihan dalam tempoh terdekat.

Katanya, setakat ini, beliau masih belum menerima maklum balas daripada pengurusan tetapi berharap keputusan itu dapat diterima demi kebaikan bersama.

“Secara peribadi saya tidak menghadapi masalah dengan pengurusan, sebaliknya keputusan ini adalah atas kerelaan saya sendiri kerana melihat tahap kemampuan sebenar saya untuk mengendalikan kelab ini.

“Sepanjang tempoh ini, saya akan menambah baik dari segi kejurulatihan dan sedia untuk kembali bersama FELDA United pada masa depan,” katanya.

Dalam aksi pembukaan liga, percaturan Azmi membantu FELDA United menang 1-0 ke atas PKNS FC tetapi tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan kedua sebelum mengikat Kedah 1-1.

The Fighters kini mengutip empat mata dan dianggap pencapaian membanggakan kerana sudah berdepan dua pasukan handalan, JDT dan Kedah.

LEAVE A REPLY