GUA MUSANG – Peraih getah, Che Abdul Karim Che Hamid, 41, yang berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun menafikan menyorok isterinya itu di kawasan pedalaman untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, isterinya yang dikenali sebagai Ayu serta ibu bapa kanak-kanak itu masih tinggal di Kampung Panggung Lalat, di sini dan tidak disorok di kebun getah terpencil sebagaimana dilaporkan media.
Kata Che Abdul Karim, Ayu dan keluarga bagaimanapun kadang-kala tidak pulang ke rumah dan bermalam di sebuah rumah di kebun getah tersebut kerana sukar berulang-alik setiap hari.
Dia juga mendakwa, tidak tahu menahu tentang laporan sebuah portal berita yang mengatakan Ayu dihantar ke Narathiwat, Thailand dan kini berada di bawah jagaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Thailand.
“Ketika ini Ayu dan keluarga tiada di sini, mereka pulang sementara waktu ke Pattani untuk cop pasport dan akan kembali semula ke sini selepas urusan selesai. Mereka kini di kampung halaman mereka.
“Saya tidak dapat berhubung dengannya kerana tiada talian telefon di sana tapi saya yakin Ayu akan kembali semula ke sini selepas urusan berkaitan selesai,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Sebelum ini, berita perkahwinan pasangan tersebut menerima kecaman rakyat Malaysia selepas tular dalam media sosial sejak Jun lalu.
Peraih getah itu yang sudah mempunyai dua isteri, turut didenda sebanyak RM1,800 atas dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang pada bulan lalu. – UTUSAN ONLINE