ariff fadila hina najibSeorang penganggur didenda RM9,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini, atas tuduhan menghantar komen lucah kepada Perdana Menteri menerusi aplikasi Twitter, Disember tahun lalu.

Mohamad Arif Fadila Arbain, 26, dari Tandop mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menggunakan Twitter atas nama @SangAlgojoe secara sedar membuat komen yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati yang dibaca di Stadium Darul Aman, di sini pada 10 Januari lalu.

Kesalahan itu dilakukan pada 1 Disember 2015, jam 9.32 malam. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya serta boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari bagi setiap kesalahan selepas sabitan.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lim Wei Yong.

Mahkamah mengenakan denda RM9,500 selepas mengambil kira kesalahan serius membabitkan tindakan menghina Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY