Anak kepada mangsa nahas jalan raya yang melibatkan empat sekeluarga di Jalan Tampin-Gemas semalam tidak menyangka mimpi ibunya telah meninggal dunia pada malam Jumaat lalu menjadi kenyataan.

Mohd Syukri Jusoh, 33, seorang posmen di Kemaman berkata beliau sepatutnya menyertai keluarga abangnya, Mohd Fadzil dan ibunya menghadiri kenduri di rumah keluarga angkat mereka di Muar, namun hasrat itu dibatalkan pada saat akhir.

“Hanya kakak yang tinggal di Kuantan mengikuti mereka. Pada hal saya telah memohon cuti selama empat hari untuk menyertai rombongan tersebut yang dirancang sebulan lalu.

“Hati saya tidak tenteram dan malas untuk sertai mereka ditambah dengan mimpi tersebut jadi saya sekeluarga membatalkan hasrat untuk mengikuti mereka serta menarik balik cuti yang dimohon.

“Isteri saya berkata mimpi itu hanya mainan tidur dan panjang lagi umur mak,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Binjai, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 3.20 petang itu, abangnya, Mohd Fadzil, dan ibu mereka, Nazipah Chik, 60, maut di tempat kejadian manakala dua daripada anak pasangan kembar tiga abangnya, Muhd Farhan dan Nur Farhana, setahun, meninggal dunia ketika mendapat rawatan.

Nahas itu dikatakan berlaku ekoran kereta Proton Saga yang dipandu oleh Mohd Fadzil hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

Mohd Syukri berkata ahli keluarganya itu bertolak dari Kemaman menuju ke Muar kira-kira pukul 8 pagi sebelum menyertai konvoi bersama kakak sulong mereka, Junaidah di Kuantan.

Namun difahamkan mereka berpecah apabila tiba di Segamat di mana Junaidah mengikut Jalan Tangkak dan Mohd Fadzil mengambil Jalan Tampin-Gemas.

Mohd Syukri berkata sebelum kejadian juga ibunya menunjukkan perubahan pelik dan sering merajuk sejak tiga hari lalu dan memintanya untuk memujuk kembali.

“Ibu juga bersungguh mengajak saya mengikut sekali, tetapi saya tidak mahu dan meminta ibu belikan hadiah,” katanya.

Keempat-empat jenazah mangsa nahas berkenaan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Binjai, Kemaman, pada pukul 9 malam ini.

LEAVE A REPLY