Hiburan

Aishah persoal hadiah GV4… Mana tanah lot? Hadiah Datuk Vida pun tak bernilai!

By Faizul Lazim

August 25, 2018

SELEPAS hampir setahun menjuarai program Gegar Vaganza musim keempat, penyanyi Janji Manismu iaitu Aishah mendedahkan masih belum menerima hadiah berupa sebidang lot tanah banglo yang dijanjikan.

Aishah, 53, turut mendedahkan hadiah barangan kemas yang bernilai RM80,000 tajaan usahawan terkenal Datuk Seri Vida juga sebenarnya tidak mempunyai nilai.

“Yang berkilauan tak semestinya berlian, yang dijanjikan dan digebang-gebangkan seantaro dunia adakalanya hanya ‘janji manismu’ sahaja hahaha.

“Adakalanya nak dapatkan hak yang dah dimenangi pun punyalah banyak helah. Yang dah diberi tengok-tengok (rupa-rupanya) cuma berkilauan tapi tak ada harga pun.

“Kalau buat rumah banglo dalam lapan bulan dah siapkan? Kalau banglo kecil rasanya dah lama siap tapi tanah tiada, tanahnya mana?” tulis Aishah di Instagram miliknya.

Menerusi pertandingan itu, Aishah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 selain hadiah sampingan sebidang lot tanah banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas dan baucer beli-belah berserta trofi.

Dalam pada itu, Aishah berkata, tahap kesabarannya semakin menipis tambahan pula sudah memberi peluang kepada pihak penaja untuk memberi reaksi atau membetulkan keadaan namun hampa.

“Kesabaran dah mula menipis. Yang bercita-cita nak jadi anak seni fikirlah banyak-banyak kali dulu, tidak semudah yang difikirkan.

“Kalau pun hadiah tambahan boleh main-main tipu-tipu je ke? Saya benar-benar tidak faham cara sebegini…. Salahkah I bersuara?” soalnya.

Sementara itu, Aishah memberitahu dia berasa terkilan apabila masih belum menerima lot tanah tersebut kerana hadiah itu sebenarnya pembakar semangatnya untuk berjuang dalam pertandingan itu.

Kata Aishah, sehingga kini dia masih menunggu bahagiannya daripada harta pusaka arwah ibu dan bapanya yang masih belum selesai sehingga ke hari ini.

“Cerita tanah ni yang membuatkan I tersentuh sangat kenapa? Berpuluh tahun I menunggu pusaka arwah ibu dan ayah yang tak diselesaikan (31 tahun lebih tepat) tapi saudara sedarah sedaging tidak menjalankan amanah sehingga hari ini.

“Bukan sikit-sikit tanah pusaka tapi malang tak diselesaikan. Bila I dapat tahu salah satu hadiah GV5 adalah tanah lot banglo I cukup bersemangat.

“Sasaran I masa dapat tahu hadiah tanah tu was to be in the top three. Cita-cita di usia begini nak buat rumah setingkat (kaki sakit nak panjat tangga), rumah orang pencen bukan nak buat istana pun.

“Bila masalah timbul, benar-benar menitiskan air mata I… Mungkin rumah baru yang I impikan itu enam kaki ke bawah je untuk I… Wallahu a’lam,” tulisnya lagi yang merujuk kepada kedalaman tanah kubur.