‘Aduan Berkurangan, Rakyat Sudah Mula Terima GST’

Berdasar statistik yang diperolehi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), rakyat dikatakan sudah mula memahami dan menerima pelaksanaan GST yang dilaksanakan 2 minggu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek semalam berkata, kesimpulan dari statistik yang diperolehi itu menunjukkan pengurangan dari segi bilangan aduan pengguna yang diterima.

“Saya melihat daripada statistik kementerian, nampaknya aduan sudah mulai berkurangan. Maknanya rakyat sudah mula memahami (GST).

“Bertentangan apa yang diwar-warkan sebelum ini di media sosial, dengan sikap pembangkang dan lain-lain, banyak yang negatif daripada positif. Oleh itu alhamdulillah, dua minggu ini rakyat sudah boleh menerima hakikat GST tak membebankan mereka.”

Maklumat yang mudah diperolehi dari stesen TV, radio, media cetak dan lain-lain mengenai GST membuatkan rakyat tiada masalah dalam memahami perlaksanaan GST.

“GST satu sistem percukaian yang cukup telus. Maknanya, orang tak boleh lari dari membayar cukai dan sebagainya. Jadi rakyat sudah boleh memahami, apatah lagi maklumat yang diberikan semua stesen TV, radio, media dan lain-lain, mereka sudah cukup faham.”

Terdahulu, KPDNKK menerima 692 aduan mengenai GST dari pengguna melalui pusat gerakan anti pencatutan selepas 6 hari pertama GST dilaksanakan.

Bagaimanapun, statistik yang diperolehi KPDNKK itu bukan bermakna rakyat faham dan menerima GST 100%, sebaliknya masih ramai yang tidak faham dan enggan menerima ekoran kurangnya penjelasan dari pihak kerajaan mengenai GST yang dilihat masih mengelirukan rakyat.

Pengguna media sosial menyifatkan tindakan Hasan Malek mengeluarkan kenyataan kononnya rakyat menerima GST ini berdasarkan kurangnya aduan berkenaan GST diterima pihak KPDNKK memperlihatkan beliau cuba menipu rakyat.

“Mana boleh buat kesimpulan semudah itu saja berdasarkan laporan statistik yang diterima oleh KPDNKK? Sedangkan, rakyat sudah muak dan malas membuat aduan kerana tindakan yang lambat dari pihak KPDNKK.

“Bukankah sebelum ini Hasan Malek pernah mengeluarkan kenyataan bahawa KPDNKK kekurangan pegawai menyebabkan tugas-tugas pemantauan terhad?” kata pengguna media sosial yang tidak mahu percaya dengan kenyataan Menteri KPDNKK. THEHYPEMEDIA

Incoming search terms:

Leave a Reply

Your email address will not be published.