Siapa yang tidak kenal dengan filem Jurassic Park dan Jurassic World yang penuh dengan hidupan besar dan ganas yang lebih terkenal dengan panggilan dinosaur. Bagi yang tidak mengikuti perkembangan industri perfileman, pastinya pernah sesekali menonton cerita animasi Flintstones, kisah komuniti manusia yang tinggal sezaman dengan dinosaur?

Apakah sebenarnya dinosaur? Adakah dinosaur benar-benar wujud atau hanya cereka dan watak fantasi yang bermotif untuk melalaikan masyarakat?

Dinosaur merujuk kepada sejenis kumpulan hidupan reptilia yang pernah wujud di muka bumi seawal kira-kira 231 juta tahun lalu iaitu dalam tempoh Triasik dan melangkaui tempoh Jurasik (bermula 199 juta tahun lalu).

Kemuncak kehidupan dinosaur ini sebenarnya dalam tempoh Kapur atau Cretaceous iaitu antara 145 hingga 65 juta tahun lalu.

Dino dalam Bahasa Yunani bererti hebat atau menggerunkan, manakala Saurus bererti reptilia atau cicak.

Kewujudan dinosaur ini dikenal pasti melalui penemuan fosil. Fosil ialah segala bentuk tinggalan hidupan kuno seperti cangkerang, rangka, tulang, gigi dan tapak kaki yang terpelihara dalam lapisan-lapisan batuan.

Bagaimana usia dinosaur diketahui?

Usia dinosaur diketahui antaranya melalui kaedah pentarikhan radiometrik (Radiometric Dating) iaitu dengan mengira nisbah isotop satu-satu unsur. Satu lagi kaedah ialah secara relatif iaitu dengan melihat pada lapisan batuan mana fosil-fosil itu ditemui.

Fosil dinosaur telah ditemui hampir di seluruh tempat di serata dunia. Fosil dinosaur lebih banyak ditemui di China dan Thailand, Timur Tengah, benua Amerika Utara dan Selatan serta beberapa tempat di Eropah berbanding Malaysia kerana negara-negara ini ialah daratan, bukannya lautan yang membolehkan dinosaur bebas berkeliaran.

Namun, benua daratan pada 231 juta tahun lalu bukanlah seperti peta dunia yang wujud sekarang. Benua-benua daratan ini umpama tongkang-tongkang besar yang sentiasa belayar di atas lapisan arus mantel berisi cairan magma yang panas. Tongkang-tongkang ini adakalanya bercantum dalam tempoh yang lama sebelum berpisah. Dunia geosains menamakan tongkang-tongkang ini sebagai plat tektonik.

Cantuman plat-plat tektonik ini dalam satu tempoh yang amat lama mewujudkan satu benua daratan yang amat luas yang membolehkan dinosaur ini hidup bebas.

Bila dinosaur pupus?

Banyak teori dicipta untuk mengaitkan bagaimana dinosaur boleh pupus secara keseluruhan. Teori yang biasa kita dengar ialah akibat hentaman meteor dari angkasa lepas. Namun ada juga yang mengaitkannya dengan perubahan suhu bumi secara mendadak dan penurunan paras oksigen dalam atmosfera yang menyebabkan dinosaur pada masa itu tidak dapat bernafas.

Adakah dinosaur pernah wujud di Malaysia?

Hanya sebahagian kecil sahaja negara kita pada masa kini ialah daratan ketika dinosaur hidup, iaitu sebahagian kecil daerah Sik dan Padang Terap di Kedah serta pedalaman negeri Kelantan, Terangganu, Pahang dan Johor.

Ekspedisi menjejaki dinosaur oleh para penyelidik dari universiti tempatan dan kerajaan Malaysia melalui Jabatan Mineral dan Geosains telah Berjaya menemukan fosil tapak kaki dan gigi beberapa spesies dinosaur.

Selain itu, fosil tumbuhan dari jenis paku pakis kuno juga telah ditemui di Terengganu di mana daun ini ialah sumber makanan kepada dinosaur herbivor.

Adakah dinosaur dan manusia pernah hidup sezaman?

Tiada fosil manusia yang ditemui mempunyai usia kewujudan yang sama dengan dinosaur. Tambahan pula struktur, keadaan dan atmosfera bumi hanya betul-betul stabil jutaan tahun selepas kepupusan dinosaur.

Walau bagaimanapun, tiada lagi pengkajian terperinci dibuat berkaitan kewujudan fosil dan rangka manusia kuno atau prasejarah seperti Perak Man di Lenggong dan hubungannya dengan sejarah kewujudan manusia bermula dari zaman Nabi Adam a.s. dari perspektif Islam.

Kesimpulan

Dinosaur merupakan hidupan prasejarah yang pernah mendiami muka bumi untuk satu tempoh yang amat lama dan telah pupus jutaan tahun sebelum manusia diciptakan di muka bumi.

Dakwaan yang mengatakan dinosaur satu khayalan dan makhluk fantasi adalah tidak benar. Penemuan fosil-fosil dinosaur ini di seluruh dunia termasuk di Malaysia mengesahkan bahawa hidupan ini wujud secara saintifik.

Oleh:
Fakhruddin Afif bin Fauzi, P.Geol, MIGM
Aktivis Isma

Fakhruddin juga merupakan Pegawai Geosains di Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia.

LEAVE A REPLY