KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa segelintir pemimpin parti itu yang diangkat menjadi ‘orang besar’ mulai lupa diri dan meminggirkan perjuangan membela rakyat.
Katanya, perlakuan itu tidak ubah seperti UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang akhirnya menyaksikan rakyat menolak mereka secara besar-besaran pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Jangan selesa kerana ada yang tiba-tiba sudah jadi menteri, setiausaha politik, jadi seperti UMNO dan BN… tidak kenal orang kanan dan kiri.
“Bila sudah menang duduk dalam kereta besar, dapat banyak peruntukan, berhenti jadi parti yang memperjuangkan akar umbi rakyat,” katanya berucap pada majlis memperkenalkan barisan calon akan bertanding pada pemilihan PKR akhir bulan depan, hari ini.
Rafizi turut mengumumkan penubuhan kumpulan ‘Reformasi 20 Tahun’ yang menggabungkan beberapa pemimpin PKR untuk bertanding pada pemilihan parti itu.
Beliau berkata, PKR tidak boleh berasa selesa selepas menjadi kerajaan hingga menghilangkan citra parti pelbagai kaum yang memperjuangkan reformasi.
“Kita perlu kekalkan perjuangan seperti sebelum menjadi kerajaan. Kita kena tumpukan kepada usaha membantu orang bawah.
“Kita kena terus ceramah di peringkat bawah, buka lebih banyak ranting, bina kekuatan parti seolah-olah tidak menang,” katanya.
Terdahulu, beliau memberi empat sebab mencalonkan diri bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti kali ini.
Antaranya sebagai sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal menjadi Perdana Menteri kelapan, ingin memperkukuhkan parti, menolak budaya feudal dan membantu akar umbi parti.
“Anwar akan menjadi Perdana Menteri kelapan, bermakna beliau memerlukan pasukan kepemimpinan yang 100 peratus bersamanya.
“Saya bukan taksub kepada Anwar tetapi jika menjadi Perdana Menteri, beliau perlu mendapat mandat penuh barisan kepemimpinan parti.
“Kita tidak mahu ada kepemimpinan yang setuju di depan tetapi di belakang cakap lain,” katanya.
Rafizi berkata, PKR perlu berazam membantu Pakatan Harapan (PH) menguasai baki negeri tidak dikuasai PH iaitu Perlis, Pahang, Terengganu dan Kelantan, selain Sarawak pada Pilihan Raya Negeri 2020.
Sebagai parti memiliki kerusi terbanyak dalam PH, katanya, PKR tidak boleh berasa selesa, sebaliknya meneruskan agenda reformasi yang diperjuangkan parti.
Alasan ketiga, katanya, mahukan PKR bebas dan menolak budaya ‘salam cium tangan’ dan feudal serta budaya orang bawah tidak boleh menegur orang atas.
“Kita parti reformasi kerana berani tegur orang atas. Kalau ada yang bawa budaya feudal dan wang serta tawar jawatan dalam parti, kita lawan habis-habisan,” katanya.
Beliau berkata, sebab keempat beliau bertanding adalah bagi membantu ahli akar umbi memperkasa ekonomi mereka dengan menubuhkan koperasi anggota PKR.
“Kita boleh tubuhkan koperasi anggota PKR. Jika kita ada sejuta ahli, dalam setahun kita ada modal berbayar RM50 juta dan boleh mewujudkan banyak aktiviti ekonomi untuk mencipta peluang pekerjaan kepada anak reformis.
“Kita akan minta Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail wujudkan koperasi. Nanti boleh beri skim kredit mikro kepada ahli tanpa perlu bergantung kepada kerajaan,” katanya.