KLANG: Mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam keadaan yang memilukan dengan beberapa kesan gigitan berdekatan sebuah surau di Jalan Delima, Bandar Parkland, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mayat berusia lingkungan sebulan itu ditemui oleh seorang lelaki warga Indonesia pada jam 9 pagi.

“Ketika tiba di tempat kejadian kami dapati terdapat seorang bayi perempuan berada di atas jalan berdekataan dengan surau itu dalam keadaan badan yang sudah mengeras.

“Penolong pegawai perubatan yang kemudiannya tiba di tempat kejadian pada 9.45 pagi mengesahkan bayi perempuan itu sudah tidak lagi bernafas.

“Siastan lanjut ke atas mayat bayi perempuan itu juga turut mendapati ada beberapa kesan darah dipercayai akibat digigit di bahagian badan dan juga kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsul Amar berkata, turut ditemui beberapa lampin pakai buang serta beg yang berisi pakaian berdekatan dengan lokasi mayat bayi perempuan itu ditemui.

Beliau berkata, tiada kamera litar tertutup (CCTV) ditemui surau itu dan pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

“Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan bedah siasat akan dilakukan esok bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya.

Shamsul Amar berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian supaya tampil menyalurkannya ke balai polis berdekatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here