cucu-a-galak-kemalanganCucu kepada pelakon veteran terkenal, A. Galak, maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah treler di persimpangan lampu isyarat pekan Sekinchan, Kilome­ter 70, Jalan Teluk Intan-Klang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, mangsa, Muhammad Izzul Islam Abdul Razak, 23, yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat guaman di Kuala Selangor meninggal dunia di tempat kejadian.

Abang sulung mangsa, Muhammad Irwan, 29, berkata, arwah merupakan anak bongsu daripada tiga beradik manakala bapanya, Abdul Razak Zakaria, 52, adalah anak kedua kepada A. Galak atau nama sebenarnya, Zakaria Ahmad.

Menurutnya, pada hari kejadian, adiknya itu dalam perjalanan pulang ke pejabat selepas menghantar dokumen di Sabak Bernam.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah adalah tengah hari semalam, sebelum solat Jumaat. Kebetulan semalam saya bercuti dan saya hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengajak dia minum.

“Sempatlah kami berjumpa dan meluangkan masa berbual dengan arwah sambil menikmati minuman masing-masing. Tidak sangka pula itu adalah pertemuan terakhir kami,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Nor Azmi Isa memberitahu, mengikut siasatan pihaknya, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR datang dari arah Teluk Intan menuju Klang.

“Mangsa dipercayai gagal memberhentikan kenderaan di persimpangan lampu isyarat tersebut lalu merempuh sisi sebelah kiri treler itu,” ujarnya.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat berkenaan, mangsa me­ngalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 51 tahun tidak cedera.

Beliau menambah, mayat mang­­sa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Jelas beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY