Empat sekeluarga maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori tiga tan dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Nenas, Tepoh tengah malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, mangsa dikenali sebagai Mustapha Abdullah, 56, dan anaknya Azman Mustapha, 32, serta Mohd Sabri Ngah, 48, dan pemandu kereta, Alif Faizal Ibrahim @Ismail, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan dan kepala.

Kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 46 tahun dari arah Kampung Tepoh menghala ke Wakaf Mesira memasuki laluan bertentangan sebelum dua kenderaan berkenaan bertembung.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pada jam 12.50 tengah malam tadi.

Katanya, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Kuala Nerus bergegas ke tempat kejadian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat,” katanya.

Lebih menyedihkan apabila mangsa kemalangan itu adalah bapa dan adik kembar kepada seorang anggota bomba bantuan Balai Bomba Kuala Nerus, Azlan Mustapha.

LEAVE A REPLY