Sekumpulan nelayan dari Duyong, Melaka mengambil masa enam jam untuk menunda anak ikan yu paus (Rhicodon Typus Smith) seberat lebih 1.5 tan yang tersangkut pada jaring ketika keluar menangkap ikan, awal pagi tadi.

Mamalia sepanjang enam meter itu tersangkut pada jaring nelayan, Saedon Ibrahim, 56, yang keluar ke laut bersama adiknya, Mahat, 51, jam 4 pagi, kira-kira tujuh batu nautika dari pesisir Pulau Hanyut.

Saedon berkata, beliau dan adiknya menaikkan ikan yu paus itu ke darat di Jeti Kuala Duyong, kira-kira jam 10 pagi. Katanya, ketika menarik jaring beliau berasa benda berat tersangkut, tetapi tidak menyangka ia ikan yu paus gergasi.

“Kami terkejut apabila mendapati benda tersangkut pada jaring ialah yu paus gergasi yang jarang dilihat kerana ia biasanya berada di laut dalam.

“Pada mulanya kami hendak melepaskan semula ikan itu, tetapi sukar kerana keadaan jaring yang sudah rosak, selain dibimbangi jika berlaku kecederaan pada ikan itu dan berjaya menaikkannya ke Jeti Kuala Sungai Duyong, kira-kira jam 10 pagi tadi,” katanya.

Bagaimanapun, atas nasihat Jabatan Perikanan negeri, mamalia itu dilepaskan semula ke laut berhampiran Pulau Undan untuk mendapatkan persekitaran air bersih pada kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Ghazali A Manap, berkata ikan spesies yu paus yang tersangkut pada jaring nelayan itu ditemui dalam keadaan masih hidup, namun memerlukan persekitaran air bersih untuk dilepaskan.

“Ikan itu dinaikkan ke darat sebentar dan pemeriksaan dilakukan oleh kakitangan Jabatan Perikanan mendapati ia masih hidup, sebelum melepaskannya semula ke perairan lebih selamat di sekitar Pulau Undan.

“Kemunculan ikan yu paus ini berkemungkinan disebabkan oleh perairan Selat Melaka adalah laluan yang menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan. Ia juga spesies marin yang dilindungi mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

LEAVE A REPLY