Dua pekerja kilang wanita maut termasuk seorang putus tangan kiri selepas motosikal dinaiki mereka merempuh bas kilang sebelum digilis di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku pada 6.55 pagi ketika kedua-dua wanita berkenaan dipercayai dalam perjalanan ke mesin juruwang automatik (ATM) berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zuker Md Isa berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang R Gowari, 34, bersama S Valarmathi, 42, yang datang dari arah Taman Keladi cuba memotong kenderaan di hadapan.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama bas kilang yang datang dari arah hadapan gagal mengelak menyebabkan motosikal mangsa merempuh kenderaan berkenaan.

“Akibat rempuhan, kedua-dua mangsa terjatuh bersama motosikal dan masuk ke bawah bas lalu diseret hampir 20 meter. Kedua-dua mangsa maut kerana mengalami cedera parah di kepala dan seorang daripada mangsa putus tangan kiri.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

LEAVE A REPLY