MUAR – Seorang pekerja kilang warga Bangladesh maut setelah badannya tersepit pada mesin pengisar buah kelapa sawit di Kilang Kelapa Sawit Bukit Pasir di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kejadian jam 3.48 petang itu berlaku ketika mangsa Sumon, 32, sedang melakukan kerja-kerja pengimpalan pada bahagian atas dan bawah jentera itu.

Advertisement

“Tiba-tiba rakannya terdengar jeritan mangsa dan ketika turun, rakannya mendapati mangsa berada di dalam gelong pengisar, tidak sedarkan diri serta badannya telah hancur,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, panik dengan kejadian itu, rakan mangsa lantas mematikan suis dan memaklumkan kepada pihak pengurusan kilang serta mereka cuba mengeluarkan mangsa sebelum memanggil pihak bomba.

Zaharudin berkata, usaha mengeluarkan mengeluarkan mangsa yang tersepit memakan masa dua jam dan mangsa mengalami kecederaan teruk pada perut, kaki serta tangan dan disahkan meninggal dunia.

“Punca kejadian dipercayai berlaku apabila baju mangsa tersangkut dengan mesin pengisar buah kelapa sawit itu. Mayat dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk dibedah siasat.

“Tiada unsur jenayah dalam kemalangan ini dan kita klasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.