Seorang mekanik maut dalam keadaan ngeri selepas kepalanya digilis sebuah treler di Kilometer 73.1, Jalan Besar Tringkap selepas jambatan Tringkap, Cameron Highlands pagi tadi.

Kejadian pada pukul 7.40 pagi itu mengorbankan mangsa, Mohamad Syazwan Mohamad Sabri, 19, di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Hasadid A. Hamid berkata, kemalangan tersebut membabitkan dua buah motosikal dan sebuah treler.

Jelasnya, siasatan mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki sedang mengikuti konvoi bermotosikal dari arah Brinchang menuju ke Kampung Raja dekat sini.

“Sewaktu tiba di kawasan selekoh, motosikal ditunggangi mangsa secara tiba-tiba terbabas sebelum merempuh sebuah motosika jenis Yamaha LC yang berada dihadapannya.

“Insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh dan memasuki laluan bertentangan sebelum digilis sebuah treler yang sedang dalam perjalanan menuju ke Brinchang ,” katanya.

LEAVE A REPLY