Kuala Lumpur – Meskipun baru 11 hari dibebaskan dari penjara, seorang lelaki sanggup menyamar sebagai wanita sebelum bertindak mencuri beg tangan milik seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta di surau sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, dekat sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.29 malam selepas lelaki berusia 21 tahun yang berpakai­an wanita dan bertudung putih itu dikatakan telah masuk ke surau terbabit dan mencuri beg tangan milik penuntut berke­naan yang sedang solat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, selepas selesai solat, mangsa menyedari beg tangan yang diletakkan di sebelahnya telah tiada.

“Mangsa terus mengadukan perkara tersebut kepada seorang pengawal sebelum di­maklumkan beg tangannya berada di balai polis selepas seorang lelaki yang menyamar sebagai perempuan ditahan.

“Kita merampas sebuah beg tangan, wang tunai RM408.30 dan telefon bimbit Samsung J1. Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit baru dibebaskan dari penjara Kajang sejak 11 hari lalu dan mempunyai rekod dadah serta curi,” katanya di sini hari ini.

Tambah Azlin, suspek kini direman empat hari sehingga Rabu ini.

LEAVE A REPLY