50,000 penyokong bola sepak Kelantan dijangka banjiri Bukit Jalil Sabtu ini

By | May 14, 2012

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjangkakan kira-kira 50,000 penyokong pasukan Kelantan akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi perlawanan akhir Piala FA antara pasukan Kelantan dan Sime Darby FC, Sabtu ini.

Presiden KAFA yang digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, Tan Sri Annuar Musa, berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagaimanapun hanya mengeluarkan 30,000 tiket untuk perlawanan tersebut.
“Setakat ini, 12,000 daripada 20,000 tiket habis ditempah sehingga hari ini dan baki 10,000 lagi dijual di Kuala Lumpur.

“Berikutan itu, kita hanya menjual 8,000 tiket saja di kaunter Stadium Sultan Muhammad IV bermula hari ini dan esok,” katanya pada sidang media sempena pelancaran CD Dikir Warriors dan Jualan Tiket Piala FA anjuran Kelate.net di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Naib Presiden KAFA, Datuk Ismail Mat Nor; Pengurus pasukan, Azman Ibrahim dan Timbalan Presiden Kelate.net, Mahizi Mahmood.

Annuar berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan 20,000 tiket tambahan bagi perlawanan akhir tersebut bagi menampung permintaan penyokong yang tinggi.

Beliau berharap supaya perlawanan pada kali ini tidak dicemari sebarang insiden buruk yang boleh mencalarkan imej Kelantan dengan mengelak sebarang provokasi kepada pihak lawan.

“Saya menyeru kepada penyokong yang hadir supaya mengikut peraturan yang ditetapkan FAM pada perlawanan akhir tersebut dan tunjukkan sokongan yang positif kepada pemain ketika perlawanan berlangsung.

“Sehubungan itu, saya berharap tiada sebarang insiden buruk dan pergaduhan yang berlaku pada malam itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KAFA akan memberi bonus kepada pemain sebagai insentif jika Kelantan berjaya merangkul gelaran juara pada perlawanan akhir Piala FA tersebut.

“Pemberian bonus ini kita sering lakukan, namun jumlah yang diberi kepada pemain tidak akan didedahkan kerana saya mahu mereka bermain dengan bermaruah, bukan untuk mendapatkan ganjaran semata-mata,” katanya.

Incoming search terms:

Author: Ali Wowberita

Ali merupakan salah seorang penulis di Wowberita.org. Mula menulis sejak 2011 sehingga sekarang. Seorang pemegang ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari UiTM Shah Alam.

Leave a Reply