Sepuluh pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia ditemui mati lemas manakala dua lagi terselamat dalam kejadian bot pancung karam di perairan Pantai Tanjung Leman di sini semalam.

Sepuluh mayat yang terdiri daripada empat lelaki dan enam wanita itu dijumpai terdampar di Pantai Tanjung Leman pada pukul 9 pagi.

Seorang lelaki dan seorang wanita terselamat dalam kejadian tersebut selepas dibantu nelayan tempatan. Mereka kini menerima rawatan di Hospital Mersing.

Bot pancung yang dinaiki kira-kira 40 orang warga Indonesia dari Batam itu dan dipercayai mahu memasuki negara ini karam pada pukul 4 pagi selepas dipukul ombak kuat.

Timbalan Pengarah Operasi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Selatan, Kepten Maritim Saiful Lizan Ibrahim berkata, kejadian bot pancung karam itu disedari oleh orang awam yang menemui mayat-mayat yang terdampar di pantai.

“Pemeriksaan mendapati enam mayat wanita dan empat mayat lelaki itu merupakan mangsa bot pancung karam.

“Dua lagi mangsa masing-masing seorang lelaki dan wanita diselamatkan nelayan,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

LEAVE A REPLY