Seorang remaja maut, manakala tiga lagi parah terkena libasan parang selepas diserang dua lelaki tidak dikenali ketika keluar dari sebuah pusat hiburan di Jalan Coastal, Kota Kinabalu awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.15 pagi itu, Yacoob Nasran, 17, ditemui terbaring dengan dua kesan tetakan di dahi dan leher.

Sebelum kejadian, mangsa yang bersama tujuh rakannya berumur antara 18 tahun dan 20 tahun, dikatakan keluar dari sebuah pusat hiburan sebelum terserempak dengan seorang lelaki yang bertengkar dengan bekas isterinya di kaki lima premis terbabit.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, siasatan awal mendapati suspek berusia 26 tahun tiba-tiba menyerang kumpulan remaja berkenaan bersama seorang lagi suspek lelaki yang juga sepupunya berumur lingkungan 20-an.

“Suspek kemudian mengambil sebilah parang lalu melibasnya ke arah kumpulan remaja berkenaan, menyebabkan seorang mangsa terkena dua libasan di dahi dan leher serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Chandra berkata, kedua-dua suspek terus melarikan diri dan usaha memburu mereka giat dijalankan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat manakala tiga rakannya dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital sama.

LEAVE A REPLY